Ibu saya menemukan anak kucing saya Velvet sedang makan roti buatan sendiri di atas kaunter dapur. Dengan keluhan marah, dia menghalau kucing itu keluar dari pintu. Beberapa jam kemudian, kami gagal mencari kucing yang hilang itu di halaman rumah. Kemudian bunyi ‘meow’ yang perlahan kedengaran dibawa angin, maka saya memandang ke atas pokok populus dan kelihatan terdapat bayang hitam sedang bergantung pada ranting kayu.

Demi melarikan diri daripada kemarahan ibu saya disebabkan oleh tindakan tersebut, Velvet memilih tindakan yang lagi berbahaya. Adakah kita juga kadangkala melakukan hal yang sama—melarikan diri daripada kesilapan dan meletakkan diri dalam situasi yang bahaya? Sehingga Tuhan pun harus datang untuk menyelamatkan kita.

Nabi Yunus melarikan diri kerana tidak mentaati panggilan Tuhan untuk berkhutbah di Niniwe, serta ditelan oleh seekor ikan besar. “Lalu Yunus pun berdoa kepada TUHAN, Allahnya, dari dalam perut ikan itu. Katanya, ‘Aku menagih ihsan TUHAN dan berseru kepada-Nya dalam penderitaanku, dan Dia menjawabku’ ” (Yunus 2:1-2). Tuhan mendengar seruan Yunus dan, “memerintahkan ikan itu yang terus memuntahkan Yunus ke darat” (ayat 10). Kemudian Tuhan memberi Yunus peluang kedua (3:1).

Selepas menghabiskan segala usaha untuk memujuk Velvet turun dari pokok itu tidak berhasil, akhirnya kami memanggil jabatan bomba tempatan. Dengan menggunakan tangga yang paling panjang, seorang ahli bomba yang baik hati telah naik ke atas, mengambil kucing itu serta mengembalikannya dengan selamat kepada saya.

Betapa tingginya—dan dalamnya—Tuhan pergi untuk menyelamatkan kita daripada ketidaktaatan kita dengan kasih-Nya yang menebus orang!