Pada tahun 1960, Ruby Bridges yang berumur enam tahun menjadi anak berbangsa Afrika-Amerika pertama yang dimasukkan ke sekolah rendah untuk anak-anak berkulit putih di bahagian selatan Amerika Syarikat. Setiap hari selama beberapa bulan, polis persekutuan mengiringi Ruby melewati sekumpulan ibu bapa yang marah, melemparkan kutukan, ancaman dan hinaan kepadanya. Setelah Ruby masuk ke sekolah dengan selamat, dia duduk bersendirian dengan Barbara Henry, satu-satunya guru yang rela mengajarnya, sementara ibu bapa lain melarang anak-anak mereka menghadiri sekolah itu bersama Ruby.

Robert Coles, ahli psikologi kanak-kanak yang terkenal membantu Ruby selama beberapa bulan dengan menangani ketakutan dan tekanan yang dialaminya. Dia berasa kagum dengan doa yang diucapkan oleh Ruby sewaktu dia berjalan ke sekolah dan pulang ke rumahnya setiap hari. “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan mereka” (lihat Lukas 23:34).

Kata-kata Yesus yang diucapkan pada kayu salib adalah lebih kuat daripada kebencian dan hinaan yang dilemparkan kepada-Nya. Pada saat paling sukar dalam hidup-Nya, Tuhan menunjukkan respons yang mendalam, yang diajar kepada pengikut-pengikut-Nya: “Kasihilah musuhmu, berbuat baik kepada orang yang membenci kamu; berkatilah orang yang mengutuk kamu dan doakan orang yang menganiayai kamu … Kamu hendaklah berbelas kasihan seperti Bapamu yang berbelas kasihan” (Lukas 6:27-28, 36).

Cara yang menakjubkan ini mungkin hanya berlaku apabila kita mempertimbangkan kasih Yesus yang berkuasa, yang telah diberikan-Nya kepada kita—kasih yang lebih kuat daripada kebencian yang paling dalam.

Ruby Bridges membantu kita melihat penyelesaiannya.