Maija, anak perempuan kawan saya, Carrie, yang berumur lima tahun, mempunyai pendekatan yang menarik tentang masa bermain. Dia suka mencampurkan semua patungnya daripada permainan yang berbeza untuk menjadikan sebuah masyarakat yang baharu. Dalam dunia imaginasinya, segala sesuatu harus bersatu. Inilah rakyatnya. Dia percaya bahawa mereka akan amat gembira apabila mereka bersatu, walaupun mempunyai saiz dan bentuk yang berbeza.

Kreativitinya mengingatkan saya tentang rancangan Tuhan terhadap gereja. Pada hari Pentakosta, Lukas memberitahu kita, “Pada waktu itu terdapat orang Yahudi yang salih daripada segala bangsa di bawah langit tinggal di Yerusalem” (Kisah Para Rasul 2:5). Walaupun mereka berasal daripada pelbagai budaya yang berbeza dan bercakap dalam bahasa yang berbeza, namun kedatangan Roh Kudus menjadikan mereka satu komuniti yang baharu: gereja. Mulai masa itu, mereka dianggap sebagai satu tubuh, yang disatukan oleh kematian dan kebangkitan Yesus.

Pemimpin-pemimpin untuk tubuh baharu ini merupakan sekumpulan orang yang disatukan oleh Yesus semasa Dia berada di bumi—murid-murid-Nya. Jika Yesus tidak menyatukan mereka, maka sudah pasti mereka tidak mungkin akan bersatu. Sekarang semakin ramai orang—“kira-kira tiga ribu orang” (Kisah Para Rasul 2:41)—telah menjadi pengikut Kristus. Syukur kepada Roh Kudus, kumpulan yang dahulu terbelah kini “tetap bersatu dan berkongsi segala yang ada pada mereka” (ayat 44). Mereka rela berkongsi apa yang dimiliki sesama mereka.

Roh Kudus terus menjambatani jurang antara kumpulan manusia. Kita tidak semestinya selalu bersetuju, atau memahami sesama dengan mudah. Tetapi sebagai orang yang percaya kepada Kristus, kita tetap bersatu.