Ada kalanya bencana besar menimpa hidup ini. Ada masanya mukjizat pula berlaku.

Tiga orang pemuda, iaitu tawanan di Babel, berdiri di hadapan raja Babel yang menakutkan. Mereka mengisytiharkan dengan berani bahawa mereka tidak akan menyembah patung emas berhala yang mencuar tinggi melampaui mereka. Mereka mengisytiharkan bersama-sama: “Kalau harus demikian, maka Allah yang kami sembah sanggup melepaskan kami dari dapur api yang menyala-nyala itu, dan Dia akan melepaskan kami daripada tangan Tuanku Raja. Tetapi kalaupun tidak, harap Tuanku Raja maklum bahawa kami tidak mahu menyembah tuhan-tuhan tuanku dan tidak mahu menyembah patung emas yang tuanku dirikan itu” (Daniel 3:16-18).

Tiga orang lelaki ini—Sadrakh, Mesakh, dan Abednego—dibuang ke dalam dapur api; dan Tuhan melepaskan mereka secara ajaib sehingga tiada sehelai pun rambut mereka yang terbakar dan pakaian mereka tidak berbau asap (ayat 19-27). Mereka telah bersiap untuk mati tetapi kepercayaan mereka kepada Tuhan tidak tergoyah—“kalaupun” Dia tidak menyelamatkan mereka.

Tuhan menginginkan kita bergantung kepada-Nya—kalaupun orang yang kita kasihi tidak disembuhkan, kalaupun kita kehilangan pekerjaan, kalaupun kita dianiaya. Ada kalanya Tuhan menyelamatkan kita daripada bahaya dalam hidup ini, dan ada kalanya Dia tidak berbuat demikian. Tetapi kebenaran yang boleh kita pegang dengan yakin ialah: “Allah yang kami sembah sanggup,” mengasihi kita, dan menyertai kita dalam semua ujian berapi, dalam setiap keadaan kalaupun.