Suami saya bertolak untuk perjalanan selama sebulan, dan saya diselubungi dengan keperluan pekerjaan saya, rumah serta anak-anak kami. Tarikh akhir penulisan mendekat. Mesin pemotong rumput rosak. Anak-anak saya sedang dalam cuti persekolahan dan mula berasa bosan. Bagaimanakah saya mampu menghadapi semua perkara ini bersendirian?

Kemudian saya menyedari bahawa saya tidak bersendirian. Kawan-kawan dari gereja datang untuk membantu. Josh datang untuk membaiki mesin pemotong rumput. John membawa makan tengah hari kepada saya. Cassidy membantu mencuci pakaian. Abi menjemput anak-anak saya bermain dengan anak-anaknya supaya saya dapat menghabiskan kerja saya. Tuhan bekerja melalui setiap kawan ini untuk membekalkan keperluan saya. Mereka ialah gambaran hidup tentang jenis komuniti yang dihuraikan oleh Paulus dalam Roma 12. Mereka mengasihi dengan ikhlas (ayat 9), memperhatikan keperluan orang lain dan bukan keperluan sendiri sahaja (ayat 10), memberi bantuan untuk memenuhi keperluan saya, dan memberikan tempat menumpang (ayat 13).

Kerana kasih yang ditunjukkan oleh kawan-kawan saya, saya terus “bergembira dalam harapan” dan “tabah menghadapi kesusahan” (ayat 12), walaupun harus menjaga anak-anak seorang diri selama sebulan. Saudara dan saudari saya dalam Kristus menunjukkan kepada saya keikhlasan kasih yang perlu kita tunjukkan kepada semua orang, terutamanya kepada “saudara-saudara seiman kita” (Galatia 6:10). Saya mahu menjadi seperti mereka.