Selepas berkhidmat bagi negaranya selama dua dekad sebagai juruterbang helikopter, James kembali ke rumah untuk berkhidmat untuk masyarakatnya sebagai seorang cikgu. Tetapi dia rindu untuk memandu helikopter, maka dia mengambil tugas dalam menerbangkan para pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan ke sebuah hospital tempatan. Dia menerbangkan helikopter sehingga akhir hidupnya.

Sekarang sudah tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal. Sementara kawan-kawan, ahli keluarga dan rakan sepasukan berdiri di tanah perkuburan, seorang rakan sekerja memanggil satu misi terakhir melalui radio. Tidak lama kemudian, bunyi bilah-bilah helikopter berputar di udara kedengaran. Sebuah helikopter mengelilingi dan berhenti terkatung-katung di atas taman peringatan seketika untuk memberi penghormatan terakhir, kemudian terbang kembali ke hospital. Pegawai tentera yang hadir juga tidak dapat menahan air mata.

Apabila Raja Saul dan anaknya Yonatan terbunuh dalam peperangan, Daud menulis lagu ratapan “Busur Panah” yang masih diingati selama berzaman-zaman (2 Samuel 1:18). “Kemuliaanmu, wahai Israel, terbunuh di tempat-tempatmu yang tinggi! Betapa telah gugur para kesateria!” (ayat 19). Yonatan merupakan rakan akrab dan rakan seperjuangan Daud. Walaupun Daud dan Saul merupakan musuh, Daud memberi penghormatan kepada mereka berdua. “Ratapilah Saul,” dia menulis. “Hatiku sengsara kerana engkau, Yonatan, saudaraku” (ayat 24, 26).

Betapa sukarnya untuk mengucapkan selamat tinggal. Tetapi bagi mereka yang percaya kepada Tuhan, kenangan manis adalah lebih daripada yang pahit, kerana perpisahan ini tidak pernah kekal. Alangkah baiknya jika kita dapat memberi penghormatan kepada mereka yang telah melayani orang lain!