Pada saat feri mula bergerak, anak perempuan saya yang kecil berkata bahawa dia berasa tidak selesa. Mabuk laut mula memberikan kesan kepadanya. Tidak lama kemudian saya juga mula berasa mual. “Pandang sahaja ufuk bumi,” saya mengingatkan diri saya. Anak-anak kapal berkata bahawa ini akan membantu kita tidak mabuk laut.

Pencipta ufuk bumi (Ayub 26:10) tahu bahawa ada kalanya kita menjadi takut dan resah dalam hidup ini. Kita boleh mendapat semula perspektif dengan meletakkan fokus pada arah yang jauh di hadapan tetapi tetap tentang kesudahan hidup kita.

Penulis surat Ibrani memahami hal ini. Dia menyedari bahawa ada kekecewaan dalam kalangan pembacanya. Penganiayaan telah memaksa ramai orang percaya meninggalkan rumah. Maka dia mengingatkan mereka bahawa orang beriman yang lain telah tekun menghadapi ujian yang ekstrem dan tidak mempunyai tempat tinggal. Namun mereka bertahan dalam menghadapi semuanya kerana mereka mengharapkan sesuatu yang lebih baik.

Sebagai orang buangan, para pembaca suratnya dapat mengharapkan kota yang dibina oleh Tuhan, negara syurgawi, kota yang disediakan Tuhan untuk mereka (Ibrani 11:10, 14, 16). Maka dalam dorongan terakhir, penulis meminta pembacanya berfokus pada janji Tuhan. “Di sini kita tidak ada kota kekal, tetapi kita berusaha mendapatkan kota yang akan datang” (Ibrani 13:14).

Kesusahan kita pada hari ini hanya sementara. Kita hanya “orang asing dan musafir di muka bumi ini” (11:13), tetapi dengan berfokus pada janji Tuhan, ini memberikan arah tujuan hidup yang kita perlukan.