Seruan yang nyaring dan penuh duka menembusi udara petang yang gelap itu. Saya dapat membayangkan seruan itu menenggelamkan bunyi perkabungan kawan-kawan dan orang yang dikasihi, yang berkumpul di kaki Yesus. Seruan ini mungkin juga menenggelamkan keluhan penjahat-penjahat yang akan mati tidak lama kemudian di kedua-dua sisi-Nya. Kejadian ini sudah pasti juga mengejutkan semua orang yang mendengarnya.

“Eli, Eli, lama sabakhtani?” Yesus berteriak dalam kesakitan dan kedukaan ketika Dia tergantung pada kayu salib yang penuh keaiban di Golgota (Matius 27:45-46).

“Ya Allah-ku,” Dia berkata, “ ya Allah-Ku, mengapa Kautinggalkan Aku?”

Saya tidak dapat membayangkan kata-kata lain yang lebih menyayat hati. Pada mulanya, Yesus telah memiliki hubungan yang sempurna dengan Tuhan Bapa. Mereka bersama-sama telah menciptakan alam semesta, menjadikan manusia menurut rupa mereka, dan merancang penyelamatan manusia. Sejak permulaan, perpisahan tidak pernah berlaku antara Mereka.

Dan sekarang, apabila kesengsaraan salib terus membawa kesakitan yang amat dahsyat ke atas Yesus—Dia, buat kali pertamanya telah kehilangan kesedaran akan hadirat Tuhan ketika Dia menanggung beban dosa dunia.

Ini satu-satunya jalan. Hanya melalui waktu persekutuan yang tergendala ini, barulah penyelamatan kita dibekalkan. Dan hanya kerana Yesus rela mengalami rasa ditinggalkan di atas salib, justeru kita manusia boleh memiliki persekutuan dengan Tuhan.

Yesus, terima kasih kerana mengalami penderitaan yang sedemikian agar kami dapat diampuni.