Saya dan rakan duduk di atas pasir, menikmati lautan yang berirama. Sementara matahari terbenam di kejauhan, gelombang bergulung-gulung, maju dan mundur dan melanda jari kaki kami, malah setiap kali terhempas menyentuh pantai untuk sejenak. “Saya suka lautan,” kata rakan saya. “Laut bergerak, jadi saya tidak perlu bergerak.”

Betapa benar katanya! Kebanyakan kita bergelut untuk berhenti. Kita tidak putus-putus mengerjakan sesuatu dan terus maju ke hadapan, seolah-olah berasa takut jika kita berhenti bekerja, kita akan kehilangan nilai diri kita. Atau dengan cara berhenti, kita akan terdedah kepada kenyataan hidup yang kita selalu ingin elakkan.

Dalam Mazmur 46:8–9, Tuhan mempamerkan kekuatan dan kekuasaan-Nya. “Marilah, lihat perbuatan TUHAN, yang telah membawa kemusnahan kepada bumi. Dia menghentikan perang di serata bumi; Dia mematahkan busur dan lembing, Dia membakar pedati dalam api menyala.” Tuhan adalah Tuhan yang sibuk, Dia bekerja untuk membawa ketenangan ke dalam zaman kita yang huru-hara.

Kemudian ayat 10 tertera, “Diamlah, dan ketahuilah Aku Allah.”

Sudah pasti kita masih boleh mengenal Tuhan sementara kita berlari ke sana sini. Tetapi jemputan pemazmur yang meminta kita menghentikan segala kesibukan sebenarnya sedang mengajak kita memiliki kesedaran yang berbeza. Kesedaran bahawa kita boleh berhenti—dan berdiam—kerana Tuhan tidak pernah berhenti bekerja. Sedarilah bahawa kuasa Tuhan memberi kita nilai, perlindungan dan keamanan yang muktamad.