Baru-baru ini isteri saya menghadiahi saya seekor anak anjing jenis Labrador retriever yang kami namakan Max. Pada suatu hari ketika Max berada bersama dengan saya di bilik baca, saya terdengar bunyi kertas dirobek di belakang saya. Saya pun berpaling dan ternampak wajah si anak anjing yang bersalah, dengan sebuah buku terbuka lebar dan sehalaman digonggong mulutnya.

Doktor haiwan memberitahu kami bahawa Max sedang melalui “masa mengunyah”. Untuk menggantikan gigi susu dan membiarkan gigi kekal bertumbuh, anak anjing harus melegakan kesakitan gusi dengan mengunyah apa pun. Kami perlu memerhatikan Max dengan teliti untuk memastikan ia tidak mengunyah sesuatu yang mungkin berbahaya. Sebagai pengganti, kami memberinya pilihan lain yang sihat.

Keinginan Max untuk mengunyah—dan tanggungjawab saya untuk memerhatikannya—semua ini menyebabkan saya berfikir tentang apa yang kita “kunyah” dalam minda dan hati. Adakah kita bersungguh-sungguh mempertimbangkan jiwa semasa kita membaca atau melayari web atau menonton televisyen? Alkitab menggalakkan kita “Seperti bayi yang baru lahir, hendaklah kamu selalu haus akan air susu suci firman Allah, supaya kamu bertumbuh subur sehingga beroleh penyelamatan. Kamu sendiri telah mengalami kebaikan Tuhan” (1 Petrus 2:2-3). Kita perlu mengisi diri kita setiap hari dengan firman Tuhan dan kebenaran jika kita ingin bertumbuh sebagai pengikut Kristus. Hanya dengan cara ini, kita boleh menjadi matang dalam-Nya.