Ayah saya meninggal dunia ketika berusia 58 tahun. Sejak itu, pada setiap ulang tahun kematiannya, saya akan memperingati ayah saya dan mengenang pengaruhnya dalam kehidupan saya. Apabila saya menyedari bahawa tempoh hidup saya tanpa ayah lebih panjang daripada waktu ada ayah, saya mula merenungkan kesingkatan hidup diri saya.

Apabila mengimbas kembali, kita mungkin bergelut dengan sesuatu peristiwa dan perasaan akibat daripadanya yang terbangkit dalam kita. Walaupun kita mengukur masa dengan jam dan kalendar, kita mengingat masa tertentu kerana peristiwa yang berlaku pada ketika itu. Pada saat-saat hidup yang mencetuskan emosi, kita mungkin mengalami kegembiraan, kehilangan, berkat, kesakitan, kejayaan dan kegagalan.

Alkitab menggalakkan kita: “Percayalah kepada-Nya setiap waktu, hai umatku; curahkan isi hatimu di hadirat-Nya, Allah Pelindung kita” (Mazmur 62:8). Kenyataan yang meyakinkan ini tidak diucapkan pada waktu yang senang. Daud menulis kata-kata ini semasa dikelilingi musuh (ayat 3-4). Namun, dia menunggu dengan tenang di hadapan Tuhan (ayat 1, 5), ini mengingatkan kita bahawa kasih Tuhan yang tidak berkesudahan (ayat 12) adalah lebih besar daripada apa-apa pergelutan yang mungkin kita hadapi.

Dalam setiap peristiwa, kita mempunyai keyakinan ini: Tuhan menyertai kita dan Dia adalah lebih daripada mencukupi untuk membawa kita melalui segala onak dan duri hidup. Tatkala detik-detik hidup yang mengancam ingin mengalahkan kita, Dia pasti menghulurkan bantuan tepat pada masanya.