Beberapa tahun yang lalu, seorang kawan melihat saya menghadapi kesukaran untuk melihat benda-benda dari jauh. Apa yang dilakukan seterusnya adalah mudah tetapi mengubah hidup saya. Dia mengambil cermin matanya dan berkata “Cuba ini.” Apabila saya memakai cermin matanya, saya terperanjat sekali kerana penglihatan saya menjadi jelas. Tidak berapa lama kemudian, saya berjumpa dengan pakar optometri yang mempreskripsikan cermin mata untuk membetulkan masalah penglihatan saya.
Bacaan hari ini dalam Lukas 18 memperlihatkan seorang lelaki yang sama sekali tidak dapat melihat. Hidup dalam kegelapan telah memaksa dia menjadi pengemis. Berita tentang Yesus, guru yang terkenal dan pekerja ajaib telah sampai ke telinga pengemis yang buta ini. Oleh itu, apabila Yesus berjalan melalui tempat pengemis buta itu yang sedang duduk, harapan menyala dalam hatinya. “Yesus, Anak Daud, kasihanilah aku!” (ayat 38) dia berseru. Walaupun tanpa penglihatan secara fizikal, lelaki ini memiliki pemahaman rohani tentang identiti sebenar Yesus dan iman kepada-Nya untuk memenuhi keperluannya. Terdesak oleh iman ini, “dia semakin kuat berseru, ‘Anak Daud, kasihanilah aku!’ “ (ayat 39). Akhirnya? Dia pulih sepenuhnya daripada kebutaan, malah berubah daripada orang yang meminta sedekah kepada orang yang memuji Tuhan kerana dia sudah dapat melihat (ayat 43).
Dalam masa atau musim kegelapan, di manakah anda berpaling? Atas apa atau kepada siapa yang anda akan memanggil? Preskripsi cermin mata membantu memperbaiki penglihatan, tetapi sentuhan yang penuh belas kasihan daripada Yesus, iaitu Anak Tuhan, yang membawa manusia keluar daripada kegelapan rohani dan memasuki terang kebenaran.