Beberapa tahun yang lalu, saya menghadiri satu upacara perkahwinan dua orang yang berasal dari negara yang berbeza. Campuran budaya yang berbeza seperti ini boleh menjadi indah, tetapi upacara tersebut mencampurkan tradisi Kristian dengan upacara daripada suatu kepercayaan yang menyembah banyak tuhan.
Nabi Zefanya secara khususnya mengutuk percampuran agama lain dengan kepercayaan kepada satu Tuhan yang benar (juga dikenali sebagai sinkretisme). Yehuda menjadi suatu bangsa yang menyembah Tuhan yang benar tetapi juga bersandar pada tuhan Milkom (Zefanya 1:5). Zefanya menggambarkan pengamalan budaya yang menyembah berhala (ayat 8) dan memberi amaran tentang akibatnya, iaitu Tuhan akan mengusir orang Yehuda dari tanah milik mereka.
Namun Tuhan tidak pernah berhenti mengasihi umat-Nya. Penghakiman-Nya adalah untuk menunjukkan bahawa mereka perlu kembali kepada-Nya. Jadi Zefanya mendorong Yehuda “mencari perbenaran, mencari kerendahan hati” (2:3). Kemudian, Tuhan dengan lemah lembut menjanjikan pemulihan pada masa hadapan: “Pada waktu itu Aku akan membawa kamu pulang, iaitu pada waktu Aku mengumpulkan kamu” (3:20).
Kita cenderung mengutuk perbuatan sinkretisme seperti upacara perkahwinan yang saya hadiri. Tetapi secara realitinya, kesemua kita mudah mencampurkan kebenaran Tuhan dengan andai-andaian budaya kita. Kita memerlukan pimpinan Roh Kudus untuk menguji kepercayaan kita terhadap kebenaran firman Tuhan dan berpegang teguh pada kebenaran tersebut dengan yakin dan penuh kasih. Bapa kita menerima dengan ramah sesiapa yang menyembah-Nya dalam Roh dan kebenaran (lihat Yohanes 4:23-24).