Sewaktu cucu perempuan kami Sarah masih kecil, dia menjelaskan kepada saya apa yang akan terjadi selepas kita mati: “Hanya wajah kita naik ke syurga, bukannya tubuh kita. Kita akan menerima tubuh yang baru, tetapi wajah kita tetap sama.”
Konsep Sarah terhadap keadaan kekekalan semestinya adalah pemahaman seorang kanak-kanak, tetapi dia dapat menangkap satu kebenaran yang penting. Dalam erti tertentu, wajah kita adalah pancaran yang dapat dilihat daripada roh yang tidak kelihatan.
Ibu saya pernah mengatakan bahawa wajah yang marah mungkin akan kekal pada muka saya. Ini memang kata-kata daripada orang bijak. Dahi berkerut tanda kerisauan, mulut yang marah, mata yang licik mungkin menunjukkan jiwa yang sengsara. Sebaliknya, mata yang ramah, rupa yang lemah lembut, senyuman yang manis—sungguhpun wajah tersebut mempunyai kedutan dan kecacatan, semua ini menjadi tanda-tanda perubahan dalaman.
Kita tidak berdaya melakukan banyak perubahan ke atas wajah yang kita peroleh sejak dilahirkan, tetapi kita boleh melakukan sesuatu tentang jenis orang yang kita ingin menjadi. Kita boleh berdoa untuk memiliki kerendahan hati, kesabaran, kebaikan, toleransi, kesyukuran, pengampunan, kedamaian, dan kasih (Galatia 5:22-26).
Dengan rahmat Tuhan dan menurut waktu-Nya, semoga anda dan saya bertumbuh menjadi serupa dengan Tuhan kita secara dalaman, keserupaan yang dipancarkan daripada wajah yang ramah dan tua. Maka, seperti yang pernah dikatakan seorang penyair Inggeris John Donne (1572-1631), “kita masih boleh menyerlahkan keindahan apabila kita menua.”