Ketika saya berdiri di lorong dalam sebuah kedai yang penuh sesak, saya menghadapi kesukaran untuk membeli kad Hari Bapa yang terbaik. Sungguhpun kami telah berdamai daripada hubungan yang tegang selama bertahun-tahun lamanya, saya tidak pernah berasa rapat dengan bapa saya.
Wanita di sebelah saya mengerang dan meletakkan kembali kad yang dibacanya ke atas rak. “Kenapa mereka tidak membuat kad untuk orang yang tidak mempunyai hubungan yang baik dengan bapa mereka, tetapi cuba melakukan perkara untuk memulihkan hubungan?”
Dia meluru keluar dari kedai itu sebelum saya sempat menjawabnya, maka saya berdoa untuknya. Saya bersyukur kepada Tuhan kerana Dia menyakinkan saya bahawa hanya Dialah yang boleh menjadi Bapa yang sempurna, saya berdoa kepada-Nya untuk menguatkan hubungan saya dengan bapa saya.
Saya juga rindu akan hubungan yang intim dengan Bapa Syurgawi. Saya ingin memiliki keyakinan seperti Daud yang percaya kepada hadirat, kuasa dan perlindungan Tuhan yang tetap (Mazmur 27:1-6).
Semasa Daud berseru untuk pertolongan, dia menantikan jawapan Tuhan (ayat 7-9). Sungguhpun ibu bapa di bumi mungkin menolak, meninggalkan atau mengabaikan anak-anak mereka, Daud menyatakan penerimaan Tuhan yang tidak bersyarat (ayat 10). Dia yakin dia akan hidup dengan mengalami kebaikan Tuhan (ayat 11-13). Seperti kebanyakan kita, ada kalanya Daud bergelut, tetapi Roh Kudus membantu dia untuk bersabar dalam kepercayaan dan bersandar pada Tuhan (ayat 14).
Kita, seperti wanita yang berada di kedai itu, akan menghadapi kesukaran dalam hubungan di dunia ini. Tetapi sungguhpun orang mungkin melakukan kesilapan atau menyakiti kita, kita tetap dikasihi sepenuhnya dan dilindungi oleh satu-satunya Bapa yang sempurna.