“Anda dikasihi!”

Seruan ini datang daripada anak perempuan saya pada suatu pagi semasa dia bersiap mengenakan pakaian. Saya tidak memahami apa yang dimaksudkannya. Kemudiannya, dia mengarahkan jari pada baju yang diberikan oleh sepupunya. Tertulis pada baju tersebut adalah perkataan: “Anda dikasihi.” Saya memeluknya, dan dia senyum dengan sukacita. “Kamu memang dikasihi!” kata saya. Senyumannya menjadi lebih lebar, dan dia mengulangi perkataan tersebut berkali-kali sambil melompat-lompat.

Saya bukan seorang bapa yang sempurna. Namun saat itu begitu sempurna. Dalam interaksi yang spontan dan indah, saya dapat melihat wajah anak perempuan saya yang berseri-seri apabila seseorang menerima kasih yang tidak bersyarat: Inilah satu gambaran yang menyenangkan. Dia tahu bahawa perkataan yang tertulis pada bajunya itu berpadanan dengan cara bapanya mengasihinya.

Berapa ramai antara kita yang tahu dalam hati bahawa kita betul-betul dikasihi oleh Bapa yang kasih-Nya tidak berkesudahan? Ada kalanya kita bergelut dengan kebenaran ini. Demikian juga dengan umat Israel. Mereka tertanya-tanya sama ada ujian yang dilalui mereka bermaksud bahawa Tuhan tidak lagi mengasihi mereka. Tetapi dalam Yeremia 31:3, nabi tersebut mengingatkan mereka tentang apa yang Tuhan pernah berfirman dahulu: “Aku mengasihi engkau dengan kasih yang kekal, sebab itu Aku menuntun engkau dengan kasih abadi.” Kita juga menginginkan kasih yang tidak bersyarat. Namun luka, kekecewaan dan kesilapan yang kita alami menjadikan kita berasa tidak dikasihi. Tetapi Tuhan membuka tangan-Nya—tangan seorang Bapa yang sempurna—dan menjemput kita mengalami dan tinggal dalam kasih-Nya.