Sewaktu saya bertemu dengan Ada, dia telah pun hidup lebih lama daripada semua kawan dan ahli keluarganya dan tinggal di rumah penjagaan orang tua. “Ini adalah perkara yang paling sukar ketika menjadi tua,” dia memberitahu saya, “melihat semua orang meninggalkan anda.” Pada suatu hari, saya bertanya kepada Ada apa yang diminatinya dan bagaimana dia menghabiskan masanya. Dia menjawab saya dengan ayat Alkitab daripada rasul Paulus (Filipi 1:21): Kerana bagiku, hidup ialah Kristus, dan mati ialah keuntungan.” Kemudian dia berkata, “Ketika saya masih hidup, saya mempunyai kerja yang perlu dilakukan. Pada hari-hari ketika badan saya berada dalam keadaan yang baik, saya akan berkongsi dengan orang lain tentang Yesus; pada hari-hari yang sukar, saya masih dapat berdoa.”
Paulus menulis kitab Filipi semasa di penjara. Dia mengakui suatu realiti tentang apa yang difahami dan dihadapi oleh orang Kristian mengenai kematian: Sungguhpun syurga itu begitu indah, baki masa yang kita ada di bumi ini adalah penting bagi Tuhan.
Seperti Paulus, Ada mengakui bahawa setiap hembusan nafas merupakan satu peluang untuk melayani dan memuliakan Tuhan. Jadi Ada menghabiskan harinya mengasihi orang lain dan memperkenalkan Penyelamatnya kepada mereka.
Walaupun pada saat yang paling gelap, orang Kristian boleh berpegang pada janji Tuhan bahawa sukacita kekal wujud dalam hadirat Tuhan. Ketika kita masih hidup, kita menikmati hubungan kita dengan Tuhan. Setiap saat itu adalah penting bagi-Nya.