“Orang Barat mempunyai jam tangan. Orang Afrika mempunyai masa.” Begitu kata Os Guinness, yang memetik satu peribahasa Afrika dalam bukunya Impossible People. Ini menyebabkan saya memikirkan waktu-waktu yang saya pernah menjawab sesuatu permintaan dengan, “Saya tiada masa.” Saya memikirkan bahawa kehidupan yang sering tertekan oleh urusan yang mendesak dan bagaimana jadual waktu dan tarikh akhir telah mengawal hidup saya.

Musa berdoa dalam Mazmur 90, “Oleh itu, ajarlah kami menghitung hari kehidupan kami, supaya hati kami bijaksana” (ayat 12). Paulus juga menulis, “Hiduplah dengan hati-hati … pergunakanlah setiap peluang dengan sebaiknya kerana ini zaman durjana” (Efesus 5:15-16).

Dalam fikiran saya, Paulus dan Musa bersetuju bahawa penggunaan masa yang bijak bukanlah setakat melihat jam tangan. Dalam sesetengah situasi, kita mungkin harus mengikut jadual masa yang ketat—atau kita harus memberi masa kita yang berharga kepada seseorang.

Kita hanya mempunyai jangka masa yang pendek untuk berkongsi kesaksian kita untuk Kristus di dunia ini, dan kita perlu memaksimakan peluang tersebut. Maksudnya kita mungkin perlu mengabaikan jam tangan dan rancangan kita untuk seketika supaya kita menunjukkan kasih Tuhan yang penuh dengan kesabaran kepada mereka yang diletakkan Tuhan dalam hidup kita.

Kita membawa suatu perubahan dalam hidup kita untuk selama-lamanya apabila kita hidup dalam kekuatan dan kasih kurnia Kristus yang tidak terbatas oleh masa.