Sewaktu saya masih budak kecil di kampung, sesuatu tentang ayam mempesonakan saya. Setiap kali saya menangkap seekor ayam, saya meletakkannya ke bawah untuk seketika dan kemudiannya membebaskannya dengan perlahan-lahan. Ayam tersebut akan kekal di sana kerana menyangka bahawa saya masih memegangnya; walaupun ayam itu bebas untuk berlari, namun berasa terperangkap.
Apabila kita meletakkan iman kita pada Yesus, Dia dengan kasih kurnia-Nya telah membebaskan kita daripada dosa dan belenggu yang pernah diletakkan oleh Iblis pada kita. Namun, oleh sebab kita memerlukan masa untuk mengubah tabiat dan perbuatan kita yang berdosa, Iblis membuatkan kita berasa seolah-olah kita terperangkap. Tetapi Roh Tuhan telah membebaskan kita; Dia tidak membelenggu kita. Paulus pernah memberitahu orang Roma, “Dengan demikian, sekarang tidak ada hukuman bagi orang yang ada dalam Kristus Yesus. Kerana melalui Kristus Yesus hukum Roh kehidupan telah membebaskanku daripada hukum dosa dan kematian” (Roma 8:1-2).
Melalui pembacaan Alkitab, doa dan kuasa Roh Kudus, Tuhan bekerja dalam hidup kita untuk menyucikan kita dan membantu kita hidup untuk-Nya. Alkitab mendorong kita supaya mempunyai keyakinan dalam perjalanan kita dengan Yesus tanpa berperasaan bahawa kita belum dibebaskan.
Yesus berkata, “Dengan demikian, jika Anak membebaskanmu, kamu akan bebas sepenuhnya” (Yohanes 8:36). Semoga kebebasan yang kita peroleh dalam Kristus akan mendorong kita mengasihi dan melayani-Nya.