Saya dan anak-anak saya telah memulakan satu tabiat yang baru. Setiap malam sebelum tidur, saya mengumpulkan pensel warna dan menyalakan satu lilin. Sambil meminta Tuhan menerangi jalan kami, kami mengeluarkan diari kami dan menulis atau melukis jawapan kepada dua soalan: Adakah saya menunjukkan kasih kepada orang lain pada hari ini? Adakah saya tidak menunjukkan kasih pada hari ini?
Mengasihi jiran kita adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan seseorang Kristian “dari mula-mulanya lagi” (2 Yohanes 1:5). Itulah yang ditulis oleh Yohanes dalam suratnya yang kedua kepada jemaah, untuk meminta mereka mengasihi satu sama lain mengikut perintah Tuhan (2 Yohanes 1:5-6). Kasih merupakan salah satu topik kegemaran Yohanes dalam surat-suratnya. Dia mengatakan bahawa mempraktikkan kasih sebenar ialah salah satu cara kita mengetahui bahawa kita “anak-anak Allah yang benar,” dan kita hidup dalam hadirat Tuhan (1 Yohanes 3:18-19). Semasa saya dan anak-anak saya merenung kembali, kami mendapati bahawa kasih dalam kehidupan ditunjukkan dalam perkara yang biasa: berkongsi payung, mendorong seseorang yang sedih, atau memasak masakan kegemaran. Waktu yang kami tidak menunjukkan kasih juga boleh kelihatan dalam perkara yang biasa: kami bergosip, tidak rela untuk berkongsi, atau memenuhi kehendak sendiri tanpa memikirkan keperluan orang lain.
Dengan mengadakan renungan pada setiap malam, ini membantu kami berwaspada pada setiap hari, lebih sensitif terhadap apa yang ditunjukkan Roh Kudus kepada kami dalam kehidupan kami. Dengan bantuan Roh Kudus, kami belajar untuk hidup dalam kasih (2 Yohanes 1:6).