Anak-anak kami perlu dipujuk untuk mempercayai bahawa berbaloinya jika memakai alat penyelam untuk melihat dasar Laut Caribbean di pesisiran pantai Pulau Tobago. Tetapi selepas mereka menyelam, mereka muncul semula ke permukaan laut dengan keghairahan sambil berkata, “Terdapat ribuan jenis ikan! Ini begitu indah! Saya tidak pernah melihat ikan yang begitu berwarna-warni!”

Oleh sebab permukaan air itu kelihatan seperti tasik air tawar berhampiran rumah kami, anak-anak kami berkemungkinan terlepas menikmati keindahan yang tersembunyi di bawah permukaannya.

Ketika nabi Samuel pergi ke Betlehem untuk mengurapi salah seorang anak lelaki Isai untuk menjadi raja berikutnya, Samuel melihat anak sulung, Eliab, dan teruja dengan penampilannya. Nabi berfikir dia telah menemui lelaki yang betul, tetapi Tuhan menolak Eliab. Tuhan mengingatkan Samuel bahawa Dia “tidak melihat sebagaimana manusia melihat. Manusia melihat penampilan lahiriah, tetapi TUHAN melihat hati” (1 Samuel 16:7).

Kemudian Samuel bertanya jika Isai ada anak lelaki yang lain. Anak lelaki bongsu tidak hadir di situ tetapi sedang menggembala kawanan domba. Anak ini, Daud, dipanggil dan Tuhan mengarahkan Samuel untuk mengurapi dia.

Sering kali kita hanya melihat paras muka seseorang, dan tidak selalu meluangkan masa untuk melihat kecantikan dalamannya, mahupun yang kadang-kadang tersembunyi. Kita tidak selalu menghargai nilai Tuhan. Tetapi jika kita meluangkan waktu untuk melihat di bawah permukaan, kita boleh mencari harta yang besar.