“Apabila anda pergi ke laut dalam untuk mengambil sampel, anda pasti akan mendapat spesies baru,” kata ahli biologi marin, Ward Appeltans. Pada tahun kebelakangan ini, ahli-ahli sains telah mengenal pasti 1,451 jenis kehidupan baru di bawah laut. Namun ini kemungkinan hanya merangkumi kurang daripada separuh spesies yang kita ketahui di bawah laut.

Dalam Ayub 38–40, Tuhan menyatakan semula penciptaan-Nya bagi Ayub. Dalam tiga fasal yang berbentuk puisi, Tuhan menonjolkan keajaiban cuaca, alam semesta yang luas, dan kepelbagaian makhluk dalam habitat mereka. Ini adalah perkara yang boleh kita perhatikan. Kemudian Tuhan menggunakan seluruh satu fasal untuk bercakap tentang misteri Lewiatan. Tiada makhluk lain adalah seperti Lewiatan, orang tidak dapat menusuk kulitnya dengan serampang dan masuk ke dalam kekangnya (Ayub 41:7, 13), makhluk ini memiliki tenaga yang elok (ayat 12), dan “giginya ada kengerian” (ayat 14). “Daripada mulutnya keluar obor … Dari lubang hidungnya keluar asap seperti periuk mendidih oleh kumbuh yang terbakar” (ayat 19–20). “Tidak ada tandingannya di atas bumi!” (ayat 33).

Baiklah, jadi Tuhan bercakap tentang makhluk besar yang kita tidak pernah melihat. Adakah itu tujuan Ayub 41?

Tidak! Ayub 41 memperluas pemahaman kita tentang sifat Tuhan kita yang menakjubkan. Pemazmur menghuraikan lagi dan menulis, “Laut yang besar dan luas … dan Lewiatan yang telah Kaujadikan untuk bermain di sana” (Mazmur 104:25–26). Selepas penjelasan yang menakutkan dalam Ayub, kita mengetahui bahawa Tuhan menciptakan tempat permainan untuk makhluk yang paling menakutkan, iaitu Lewiatan untuk bermain di sana.

Kita berpeluang untuk meneroka lautan pada hari ini. Kelak kita akan mempunyai keabadian untuk meneroka keajaiban Tuhan kita yang megah, penuh misteri dan mempunyai rasa humor.