Apabila saya dan suami berpindah ke Seattle, Amerika Syarikat untuk tinggal berdekatan dengan adik perempuannya, kami tidak tahu tempat yang kami akan tinggal atau bekerja. Sebuah gereja tempatan membantu kami mencari sebuah rumah sewa yang ada banyak bilik tidur. Kami pun tinggal di salah satu bilik tidur, dan menyewakan bilik lain kepada pelajar antarabangsa. Untuk tiga tahun yang seterusnya, kami adalah orang asing yang menyambut orang yang tidak dikenali: berkongsi rumah dan makanan kami dengan orang dari seluruh dunia. Kami dan rakan-rakan kami juga mengalu-alukan ramai pelajar antarabangsa ke rumah kami pada setiap malam Jumaat untuk mempelajari Alkitab.
Umat Tuhan tahu maksud berjauhan dari rumah. Selama beberapa ratus tahun lalu, orang Israel adalah orang asing—dan hamba— di Mesir. Dalam Imamat 19, bersama-sama arahan biasa seperti “menghormati ibu dan bapanya” dan “Jangan mencuri” (ayat 3,11), Tuhan mengingatkan umat-Nya untuk mengambil berat terhadap orang asing, kerana mereka memahami perasaan takut untuk menjadi orang asing (ayat 33-34).
Pada hari ini, walaupun bukan semua pengikut Tuhan mengalami pembuangan, kita tahu perasaannya menjadi “orang asing” di bumi (1 Petrus 2:11), iaitu orang berasa seperti orang luar kerana akhirnya kita akan menetap di kerajaan syurga. Kita dipanggil untuk menjadi masyarakat yang beramah-tamah—orang asing yang mengundang orang asing ke dalam keluarga Tuhan. Pengalaman sambutan ramah bagi saya dan suami saya semasa di Seattle mengajar kami untuk melakukan perkara yang sama kepada orang lain—dan ini adalah dasar untuk menjadi sebahagian keluarga Tuhan (Roma 12:13).