Ketika saya sedang berkemas untuk pulang ke London, ibu saya memberikan saya sebuah hadiah—salah satu cincinnya yang saya telah lama kagumi. Oleh sebab perasaan terkejut, saya bertanya, “Kenapa ini?” Dia menjawab, “Saya berfikir anda perlu memilikinya sekarang. Kenapa tunggu sehingga saya mati? Saya pun tidak lagi dapat memakai cincin ini.” Saya tersenyum dan menerima hadiah yang tidak dijangka ini, suatu warisan yang diterima awal serta membawa kegembiraan.

Ibu saya memberi saya hadiah kebendaan, tetapi Yesus berjanji bahawa Bapa-Nya akan memberikan Roh Kudus kepada mereka yang meminta (Lukas 11:13). Jika ibu bapa yang dicemari oleh dosa dapat memenuhi (seperti ikan atau telur) keperluan anak-anak mereka, apatah lagi Bapa kita di syurga memberikan kepada anak-anak-Nya. Melalui hadiah Roh Kudus (Yohanes 16:13), kita dapat mengalami harapan, kasih, sukacita, dan kedamaian walaupun pada masa kesusahan—dan kita dapat mengongsikan hadiah ini dengan orang lain.

Kita mungkin mempunyai ibu bapa yang tidak dapat mengasihi dan menjaga kita sepenuhnya sewaktu kita membesar. Atau kita mungkin mempunyai ibu bapa yang sangat mengasihi kita dengan membuat banyak pengorbanan. Atau kita pernah mengalami kedua-dua situasi tersebut. Apa pun yang kita alami dengan ibu bapa di dunia ini, kita dapat berpegang pada janji bahawa Bapa syurgawi kita mencintai kita tanpa henti. Dia menghadiahi anak-anak-Nya Roh Kudus.