“Saya tidak dapat melakukannya!” seorang pelajar menyeru ratapannya. Pada muka surat itu, dia hanya nampak perkataan huruf kecil, idea yang sukar difahami, dan tarikh penghantaran akhir yang tidak boleh ditunda. Dia memerlukan bantuan gurunya.
Kita mungkin mengalami keputusasaan yang sama apabila kita membaca Khutbah Yesus di atas Bukit. “Kasihilah musuhmu” (Matius 5:44). Kemarahan sama buruknya dengan pembunuhan (ayat 22). Berahi sama dengan perzinaan (ayat 28). Jika kita berani untuk berfikir bahawa kita boleh hidup sesuai dengan piawaian ini, kita akan menemukan ayat ini: “Hendaklah engkau sempurna seperti Bapamu di syurga” (ayat 48).
“Khutbah di atas Bukit menghasilkan keputusasaan,” kata Oswald Chambers. Tetapi dia melihat ini hal yang baik, kerana pada waktu “kita berputus asa, kita bersedia untuk datang kepada [Yesus] sebagai orang miskin untuk menerima pemberian-Nya.”
Tuhan begitu kerap bekerja dalam cara yang tidak dijangka, mereka yang tahu mereka tidak dapat melakukannya sendiri adalah orang yang menerima rahmat Tuhan. Sebagaimana dikatakan oleh rasul Paulus, “Di mata manusia, tidak ramai daripadamu yang bijak … Allah memilih yang bodoh di dunia untuk memalukan yang bijak” (1 Korintus 1:26–27).
Dalam kebijaksanaan Tuhan, Dia juga adalah Guru dan Penyelamat kita. Apabila kita datang kepada-Nya dengan iman, melalui Roh-Nya kita menikmati kebenaran, kesucian dan penebusan–Nya (ayat 30), serta kasih kurnia dan kuasa untuk hidup bagi-Nya. Itulah sebabnya Dia berkata, “Diberkatilah mereka yang miskin kerohanian, kerana merekalah yang empunya kerajaan syurga” (Matius 5:3).