Antara ratusan artikel yang saya tulis untuk Pedoman Harian sejak tahun 1988, ada beberapa artikel yang masih dalam ingatan saya. Satu artikel yang saya tulis pada pertengahan tahun 1990-an tentang tiga anak perempuan saya, ketika mereka pergi berkhemah atau ke lawatan misi, saya dan anak lelaki saya, Steve, yang berusia enam tahun pada masa itu, dapat meluangkan masa bersama.
Semasa kami menikmati lawatan ke lapangan terbang, Steve berpaling kepada saya dan berkata, “Tidak begitu seronok tanpa Melissa,” kakak dan kawan baiknya yang berusia lapan tahun. Kami tidak tahu betapa pedihnya kata-kata itu pada masa kemudian. Kehidupan kami sememangnya tidak “menyenangkan” selama bertahun-tahun sejak Mell meninggal dunia dalam kemalangan kereta ketika masih remaja. Peredaran masa boleh meredakan kesakitan, tetapi tiada apa pun yang dapat menghilangkan kesakitan itu sepenuhnya. Masa tidak boleh menyembuhkan luka itu. Tetapi ada sesuatu yang boleh membantu: mendengar, merenung, dan menikmati ketenangan yang dijanjikan oleh Tuhan, sumber segala penghiburan kita.
Dengar: “Kerana kasih setia TUHAN tidak pernah lenyap, belas kasihan-Nya tiada akan pudar” (Ratapan 3:22).
Renung: “Kerana pada waktu kesusahan Dia akan menyembunyikan aku di astaka-Nya” (Mazmur 27:5).
Menikmati: “Inilah yang melipurkan aku dalam kesakitanku: Firman-Mu memberiku hidup” (Mazmur 119:50).
Kehidupan tidak lagi sama apabila seseorang yang kita sayangi meninggal dunia. Tetapi janji Tuhan membawa harapan dan penghiburan.