Sebelum anak lelaki saya pergi ke sekolah dengan bergegas-gegas, saya bertanya kepadanya jika dia telah memberus gigi. Sekali lagi saya bertanya soalan yang sama, saya mengingatkan dia tentang kepentingan untuk bercakap benar. Anak saya tidak mengendahkan peringatan lembut saya, malah secara separuh bergurau dia memberitahu bahawa saya perlu meletakkan kamera keselamatan di bilik mandi agar saya dapat memeriksa sendiri jika dia telah memberus giginya, dan dia tidak akan tergoda untuk berbohong.

Walaupun kehadiran kamera keselamatan boleh membantu mengingatkan kita untuk mematuhi peraturan, namun kita masih boleh pergi ke tempat-tempat tanpa dikesan orang atau menggunakan beberapa cara untuk mengelakkan daripada dilihat orang. Walaupun kita mungkin dapat mengelakkan atau membuat helah pada kamera keselamatan, kita sedang menipu diri kita sendiri jika kita berfikir bahawa kita berada di luar pandangan Tuhan.

Tuhan bertanya, “Masakan orang dapat menyembunyikan diri di tempat tersembunyi sehingga Aku tidak melihatnya?” (Yeremia 23:24). Galakan dan amaran sama-sama wujud dalam persoalan Tuhan ini.

Soalan ini memberi amaran bahawa kita tidak boleh bersembunyi daripada Tuhan. Kita tidak boleh melampaui atau menipu Dia. Segala yang kita lakukan dapat dilihat oleh-Nya.

Soalan ini juga memberi galakan bahawa tiada tempat di bumi atau di langit yang kita berada di luar penjagaan Bapa syurgawi kita yang teliti. Walaupun pada saat kita berasa bersendirian, Tuhan menyertai kita. Tidak kira tempat yang kita pergi pada hari ini, semoga kesedaran mengenai kebenaran ini akan mendorong kita memilih untuk mentaati firman dan menerima penghiburan-Nya—Dia tetap menjaga kita.