Saya mempunyai beberapa orang kawan yang belum sembuh sepenuhnya, tetapi mereka masih bergelut dengan kesakitan. Rakan-rakan saya yang lain pula telah sembuh daripada ketagihan tetapi mereka masih bergelut dengan perasaan menganggap diri sendiri tidak baik dan membenci diri. Saya pun tertanya-tanya, Mengapakah Tuhan tidak menyembuhkan mereka sepenuhnya—sekali sahaja untuk selama-lamanya?

Dalam Markus 8:22-26, kita membaca kisah tentang Yesus menyembuhkan orang yang buta sejak lahir. Yesus mula-mula membawa lelaki itu ke luar dari kampung. Kemudian Dia meludahi mata lelaki itu dan “meletakkan tangan-Nya pada orang itu.” Lelaki itu berkata dia kini dapat melihat orang, dan rupa mereka “seperti pokok berjalan.” Kemudian Yesus menyentuh mata lelaki itu lagi, dan kali ini dia melihat semuanya “cukup terang.”

Dalam pelayanan-Nya, perkataan dan tindakan Yesus sering dikagumi dan membingungkan orang ramai serta pengikut-pengikutnya (Matius 7:28, Lukas 8:10, 11:14), bahkan banyak orang yang menjauhkan diri (Yohanes 6:60-66). Tidak syak lagi keajaiban yang mempunyai dua bahagian ini juga menyebabkan kekeliruan. Mengapakah Yesus tidak menyembuhkan lelaki ini dengan segera?

Kita tidak tahu sebabnya. Tetapi Yesus tahu apa yang diperlukan oleh lelaki dan para pengikut-Nya yang menyaksikan penyembuhan-Nya pada ketika itu. Dia tahu apa yang kita perlukan pada hari ini supaya hubungan kita dengan Dia manjadi lebih rapat. Walaupun kita tidak akan selalu memahami, kita boleh mempercayai bahawa Tuhan bekerja dalam kehidupan kita, dan kehidupan orang yang kita kasihi. Dia akan memberi kita kekuatan, keberanian, dan kejelasan yang kita perlukan untuk terus mengikut Dia.