Seorang profesor universiti saya, menegur sikap suka menangguh saya yang disebabkan oleh sifat kesempurnaan, lalu dia memberi saya nasihat yang bijak. “Jangan biarkan kesempurnaan menjadi musuh bagi mencapai kebaikan,” katanya sambil menjelaskan bahawa usaha untuk mencapai prestasi yang sempurna dapat menghalang risiko yang diperlukan untuk pertumbuhan. Dengan menerima kenyataan bahawa kerja saya adalah sentiasa tidak sempurna, ini akan memberi saya kebebasan untuk terus bertumbuh.

Rasul Paulus menjelaskan sebab yang lebih mendalam supaya kita tidak menyempurnakan diri dengan usaha sendiri, kerana ini akan membutakan kita daripada bergantung pada Kristus.

Paulus telah mempelajari hal ini melalui kesilapan. Selepas bertahun-tahun berusaha untuk mematuhi hukum Tuhan, satu pertemuan dengan Yesus mengubah semuanya (Galatia 1:11-16). Paulus menyedari bahawa jika usahanya sendiri sudah cukup untuk menjadi sempurna dan berdamai dengan Tuhan, “sia-sialah kematian Kristus” (Galatia 2:21). Hanya dengan melepaskan—mati terhadap sifat bergantung pada diri sendiri, barulah dia dapat mengalami Yesus yang hidup dalamnya (ayat 20). Hanya dalam ketidaksempurnaannya, dia dapat mengalami kuasa Tuhan yang sempurna.

Ini tidak bermakna kita boleh terus berdosa (ayat 17); tetapi itu bermakna kita harus berhenti bergantung pada kekuatan kita sendiri untuk bertumbuh secara rohani (ayat 20).

Sepanjang hayat ini, kita akan sentiasa berada dalam proses pembentukan. Tetapi apabila dengan rendah hati kita bergantung secara berterusan pada Dia yang sempurna, Yesus pun akan mendiami hati kita (Efesus 3:17). Dengan berakar dalam Dia, kita bebas bertumbuh dengan lebih lagi dalam kasih yang “tidak terjangkau oleh pengetahuan manusia”(ayat 19).