Semasa saya tinggal di Oklahoma, saya mempunyai kawan yang “mengejar” tornado. John mengesan ribut dengan berhati-hati melalui peralatan radio dengan pengejar lain dan radar tempatan, mereka juga cuba berada pada jarak yang selamat sambil memerhatikan laluan yang dirosakkan oleh tornado. Ini dilakukan supaya dia boleh memaklumkan orang lain tentang bahaya yang mendatang jika ada perubahan mendadak.

Pada suatu hari, awan berbentuk corong berubah arah dengan tiba-tiba, lalu John mendapati dirinya dalam situasi yang sangat bahaya. Mujurlah, dia dapat mencari tempat perlindungan dan terselamat.

Pengalaman John pada waktu petang itu membuat saya terfikir tentang satu lagi jalan yang merosakkan: dosa dalam hidup kita. Alkitab memberitahu kita, “Seseorang tergoda kerana terjerat oleh nafsu jahatnya sendiri. Apabila dia menurutkan nafsu jahatnya itu, wujudlah dosa; dan dosa yang matang akan membawa kepada kematian” (Yakobus 1:14-15).

Ada kesinambungan di sini. Apa yang pada mulanya nampak tidak berbahaya, lama-kelamaan berputar di luar kawalan dan mendatangkan malapetaka. Tetapi apabila godaan mengancam, Tuhan menawarkan kita perlindungan daripada ribut yang semakin besar.

Firman Tuhan memberitahu kita Dia tidak akan menggoda kita, dan kita hanya boleh menyalahkan pilihan kita sendiri. Tetapi sewaktu kita “dicubai, Allah akan memberimu jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan menanggungnya” (1 Korintus 10:13). Ketika kita berpaling kepada-Nya dan menyeru bantuan-Nya pada saat godaan, Yesus memberi kita kekuatan yang kita perlukan untuk mengatasi semuanya.

Yesus ialah tempat perlindungan kita selama-lamanya.