Mengapakah kita harus meninggalkan rumah dan berpindah?” anak lelaki saya bertanya. Sukarnya untuk menerangkan konsep rumah, terutamanya kepada seorang budak lelaki yang berumur lima tahun. Kami meninggalkan sebuah rumah, tetapi bukan rumah sebenar kami, dengan erti kata lain, rumah adalah tempat orang tersayang kami berada. Rumah adalah tempat yang kita amat ingin pulang selepas perjalanan lama atau bekerja sepanjang hari.

Apabila Yesus berada di bilik tingkat atas hanya beberapa jam sebelum Dia mati, Dia memberitahu murid-muridnya, “Janganlah resah hatimu” (Yohanes 14:1). Murid-murid tidak pasti masa depan mereka kerana Yesus telah meramalkan kematian-Nya. Tetapi Yesus meyakinkan mereka tentang hadirat-Nya, dan mengingatkan mereka bahawa mereka akan melihat Dia lagi. Dia memberitahu mereka, “Di dalam rumah Bapa-Ku ada banyak tempat tinggal … Aku akan pergi menyediakan tempat untukmu” (ayat 2). Dia boleh menggunakan perkataan lain untuk menggambarkan syurga. Bagaimanapun, Dia memilih perkataan yang menggambarkan tempat Yesus, Tuhan yang kita kasihi, akan berada, dan bukan memilih perkataan seperti tempat yang tidak selesa atau asing bagi kita.

C.S. Lewis menulis, “Bapa kita menyegarkan kita dalam perjalanan dengan tempat penginapan yang menyenangkan, tetapi Dia tidak akan mendorong kita menganggap itu ialah rumah sebenar kita.” Kita boleh berterima kasih kepada Tuhan untuk “tempat tinggal yang menyenangkan” dalam kehidupan, tetapi ingatlah bahawa rumah sebenar kita adalah di syurga, yang kita “akan menyertai Tuhan selama-lamanya” (1 Tesalonika 4:17).