Rakan sekerja saya, Tom, meletakkan salib kaca berukuran 8”x 12” di atas meja. Rakannya, Phil, yang seperti Tom adalah bekas pesakit kanser dan sekarang sudah sembuh, memberikan salib itu kepadanya agar dia dapat melihat segala-galanya “melalui salib.” Baginya, salib kaca adalah peringatan berterusan tentang kasih dan tujuan baik Tuhan.

Itulah idea yang mencabar untuk semua orang yang beriman dalam Yesus, terutamanya ketika masa sukar. Lebih mudah untuk memfokuskan masalah kita daripada kasih Tuhan.

Kehidupan rasul Paulus adalah contoh hidup yang mempunyai perspektif berbentuk salib. Dia menggambarkan dirinya pada masa penderitaan “dianiaya, tetapi tidak ditinggalkan. Kami dijatuhkan, tetapi tidak dimusnahkan” (2 Korintus 4:9). Dia percaya bahawa pada masa-masa sukar, Tuhan sedang bekerja, untuk mencapai “kemuliaan yang kekal tanpa bandingan. Kami tidak mementingkan hal-hal yang kelihatan, tetapi hal-hal yang tidak kelihatan; kerana yang kelihatan itu cuma sedetik, manakala yang tidak kelihatan itu kekal” (ayat 17-18).

Untuk “mementingkan … hal-hal yang tidak kelihatan” tidak bermakna kita tidak mempedulikan masalah. Paul Barnett, dalam ulasannya akan petikan ini, menjelaskan, “Ini bermaksud kita memiliki keyakinan yang berdasarkan kepastian tujuan Tuhan untuk [kita] … Di samping itu, terdapat kesedaran yang ketara bahawa kita mengerang dengan harapan yang bercampur dengan kesakitan.”

Yesus memberikan hidup-Nya untuk kita. Kasih-Nya adalah mendalam dan penuh pengorbanan. Semasa kita melihat kehidupan “melalui salib,” kita melihat kasih dan kesetiaan-Nya, dan kepercayaan kita kepada-Nya pun berkembang.