Pada setiap ulang tahun perkahwinan kami, suami saya, Alan, akan memberikan saya sejambak bunga segar yang besar. Apabila dia kehilangan pekerjaannya disebabkan penyusunan semula korporat, saya tidak mengharapkan paparan kasih ini berterusan. Tetapi pada ulang tahun kami yang ke-19, bunga-bunga yang berwarna-warni menyambut saya di atas meja makan kami. Oleh sebab Alan menghargai tradisi tahunan ini, dia akan menyimpan sejumlah wang setiap bulan agar dia mempunyai wang yang mencukupi untuk menunjukkan kasihnya.
Perancangan suami saya yang teliti menunjukkan kemurahan hati yang bersungguh-sungguh, mirip dengan apa yang digalakkan oleh Paulus ketika dia menulis surat kepada orang percaya di Korintus. Paulus memuji gereja kerana persembahan mereka yang ikhlas serta bersemangat (2 Korintus 9:2, 5), ini mengingatkan mereka bahawa Tuhan gembira dengan pemberi yang mulia dan ceria (ayat 6-7). Lagipun, tiada sesiapa pun dapat memberi lebih daripada Pemberi yang mengasihi kita, yang sentiasa bersedia untuk membekalkan apa yang kita perlukan (ayat 8-10).
Kita boleh menjadi murah hati dalam segala jenis pemberian, menjaga satu sama lain kerana Tuhan memenuhi semua keperluan kita dari segi kebendaan, emosi dan rohani (ayat 11). Apabila kita memberi, kita boleh mengucapkan syukur kepada semua yang telah diberikan oleh Tuhan kepada kita. Kita juga boleh memotivasikan orang lain untuk memuji Tuhan serta memberi daripada semua pemberian Tuhan (ayat 12-13). Pemberian dengan tangan terbuka, penyataan kasih dan kesyukuran yang melimpah dapat menunjukkan keyakinan kita terhadap Tuhan yang sentiasa memenuhi keperluan semua umat-Nya.