Seruan terhadap “bapa” akan kedengaran bagi menyelesaikan sesetengah masalah. Contohnya, baru-baru ini anak-anak saya mendapati sekawan lebah telah membuat sarang dalam celah konkrit di halaman depan rumah kami. Oleh itu, setelah bersenjatakan semburan serangga, saya keluar untuk berperang.

Akibatnya saya disengat. Lima kali.

Saya tidak suka disengat oleh serangga. Tetapi lebih baik saya yang disengat dan bukannya anak-anak atau isteri saya. Menjaga kesejahteraan keluarga ialah tugas utama saya. Anak-anak saya menemui suatu masalah, lalu mereka meminta saya menyelesaikannya. Mereka mempercayai bahawa saya akan melindungi mereka daripada sesuatu yang ditakuti mereka.

Dalam Matius 7, Yesus mengajar bahawa kita juga harus menyerahkan keperluan kita kepada Tuhan (ayat 7), mempercayakan permintaan kita kepada Dia. Untuk menggambarkan hal ini, Yesus memberikan contoh melalui ibu bapa: “Bapa manakah akan memberikan batu kepada anaknya yang meminta roti? Bapa manakah akan memberikan ular kepada anaknya yang meminta ikan? “ (ayat 9-10). Bagi ibu bapa yang penyayang, jawapannya adalah jelas. Tetapi Yesus menjawab dan mencabar kita supaya tidak kehilangan kepercayaan akan kebaikan serta kemurahan hati Bapa kita: “Kamu yang berdosa pun tahu memberikan yang baik kepada anakmu. Lebih-lebih lagi Bapamu yang di syurga: Dia akan memberikan yang baik kepada mereka yang meminta daripada-Nya!” (ayat 11).

Saya sangat mengasihi anak-anak saya. Tetapi Yesus memberi jaminan kepada kita bahawa walaupun kasih ayah yang terbaik di dunia pun tidak setanding dengan kasih Tuhan kepada kita.