Ketika saya berusia sembilan belas tahun, salah seorang kawan rapat saya terbunuh dalam kemalangan kereta. Dalam beberapa minggu dan bulan berikutnya, setiap hari kehidupan saya diselubungi kesedihan. Kesakitan akibat kehilangan seseorang yang begitu muda dan baik telah mengaburkan penglihatan saya. Kadang-kadang saya juga menjadi kaku terhadap perkara yang berlaku di sekeliling saya. Saya dibutakan oleh kesakitan serta kesedihan sehingga saya tidak dapat melihat Tuhan.

Dalam Lukas 24, dua murid Yesus yang keliru dan patah hati selepas kematian Yesus, tidak menyedari bahawa mereka sedang berjalan dengan Guru mereka yang telah bangkit, walaupun Dia sudah menjelaskan daripada Kitab Suci tentang sebabnya Penyelamat yang dijanjikan harus mati dan bangkit kembali. Hanya apabila Dia mengambil dan membahagikan roti, barulah Dia dikenali semula (ayat 30-31). Walaupun pengikut Yesus telah mengalami segala kengerian ketika Yesus mati, melalui kebangkitan-Nya daripada kematian, Tuhan meyakinkan mereka untuk berharap semula.

Seperti murid-murid itu, kita mungkin tertekan oleh kekeliruan atau kesedihan. Tetapi kita boleh mencari harapan dan keselesaan dalam kenyataan bahawa Yesus hidup serta masih bekerja di dunia—dan dalam kita. Walaupun kita masih mengalami sakit hati serta kesengsaraan, kita boleh mengalu-alukan Kristus untuk berjalan bersama kita dalam kesedihan kita. Sebagai Cahaya dunia (Yohanes 8:12), Yesus boleh membawa sinar harapan untuk mencerahkan kabut kesedihan kita.