Saya mempunyai seorang kawan, Edith. Dia menceritakan kepada saya tentang hari yang dia membuat keputusan untuk mengikut Yesus.

Edith tidak mempedulikan tentang agama. Tetapi pada suatu pagi Ahad, dia berjalan ke sebuah gereja berhampiran pangsapurinya sambil mencari sesuatu yang dapat mengisi ketidakpuasan dalam jiwanya. Ayat Alkitab yang dibaca oleh pastor pada hari itu ialah Lukas 15:1–2: “Pada suatu hari, semua pemungut cukai dan orang berdosa datang mendengar Yesus. Orang Farisi dan ahli-ahli Taurat bersungut-sungut, ‘Orang ini menyambut orang berdosa dan makan bersama mereka.’ ”

Itulah yang dibaca oleh pastor, tetapi ini adalah apa yang didengar oleh Edith: “Orang ini menyambut orang berdosa dan Edith bersama mereka.” Dia terus duduk tegak di bangku! Akhirnya, dia menyedari dia telah salah mendengar, tetapi kebenaran bahawa Yesus mengalu-alukan orang berdosa—termasuk Edith—membekas dalam mindanya. Pada petang itu, dia memutuskan untuk “mendekati” Yesus, dan mendengar Dia. Dia mula membaca kitab-kitab Injil, dan tidak lama kemudian, dia mengambil keputusan untuk meletakkan iman pada-Nya serta mengikut Dia.

Golongan agamawan pada zaman Yesus tidak dapat menerima bahawa Yesus makan dan minum dengan orang berdosa dan jahat. Peraturan mereka melarang mereka bergaul dengan orang seperti itu. Yesus tidak mempedulikan peraturan-peraturan buatan mereka. Sebaliknya, Dia mengalu-alukan mereka yang sedih serta hilang harapan dan menghimpunkan mereka kepada-Nya, tidak kira sejauh mana mereka berada.

Kenyataan ini adalah masih benar: Yesus menerima orang berdosa dan (nama anda).