Saya sentiasa menyukai ribut petir yang baik. Selaku kanak-kanak, setiap kali keadaan badai yang sungguh luar biasa—dengan guruh dan hujan lebat yang melanda—kami adik-beradik akan bermain di luar rumah kami, dengan menggelincir dan meluncur di sepanjang jalan. Apabila sudah tiba masanya untuk kembali ke dalam rumah, kami benar-benar telah menjadi basah.
Ia adalah sesuatu yang menggembirakan—hanya untuk seketika—ditenggelami dalam sesuatu yang begitu kuat, dan kami tidak dapat menyatakan sama ada kami sedang berseronok atau berada dalam ketakutan.
Gambaran ini timbul dalam fikiran apabila, seperti dalam Mazmur 107, Kitab Suci membandingkan pemulihan Tuhan di gurun yang tandus berubah menjadi “kolam air” (ayat 35). Kerana jenis ribut yang mengubah gurun menjadi sebuah oasis bukan hujan yang lembut, melainkan hujan lebat yang membanjiri setiap retakan tanah kering dengan kehidupan baru.
Bukankah itu jenis pemulihan yang kita inginkan? Apabila kisah kita seumpamanya kisah pengembaraan tanpa tujuan kerana kita “lapar dan dahaga”, dan kelaparan untuk pemulihan itu seolah-olah tidak akan tiba (ayat 4-5), kita memerlukan lebih daripada sedikit harapan. Dan apabila corak dosa yang berakar dalam membuat kita terperangkap “dalam kegelapan” (ayat 10-11), maka hati kita memerlukan perubahan yang lebih besar.
Itulah jenis perubahan tepat yang boleh dibawakan oleh Tuhan kepada kita (ayat 20). Tidak pernah terlambat untuk membawa ketakutan dan perasaan malu kita kepada Dia yang lebih berkuasa untuk menghancurkan rantai pengikat kita dan membanjiri kegelapan kita dengan cahaya-Nya (ayat 13-14).