Apa yang telah dilakukan oleh rasul Yohanes untuk sahabatnya Gayus pada abad pertama merupakan satu seni yang hampir melenyap pada abad ke-21. Yohanes telah menulis surat kepadanya.
Seorang penulis untuk New York Times, Catherine Field berkata, “Penulisan surat adalah antara seni yang paling kuno. Misalnya, fikirkan surat-surat dan pemikiran Paulus dari Tarsus.” Rasul Yohanes juga salah satu contoh.
Dalam suratnya kepada Gayus, Yohanes turut memasukkan harapan supaya Gayus mempunyai kesihatan tubuh dan jiwa yang baik, perkataan yang menggalakkan tentang kesetiaan Gayus, dan menyebutkan kasihnya terhadap gereja. Yohanes juga mengatakan satu masalah di gereja yang dia berjanji akan menjawabnya secara individu kemudian. Selain itu, dia menulis tentang nilai dalam berbuat baik untuk kemuliaan Tuhan. Secara keseluruhannya, ia merupakan sepucuk surat yang memberi galakan dan cabaran kepada rakannya.
Komunikasi digital mungkin bermaksud bahawa menulis surat pada kertas menjadi semakin pudar, tetapi ini tidak sepatutnya menjadi penghalang bagi kita untuk memberi dorongan kepada orang lain. Paulus menulis surat galakan pada kertas kulit; kita boleh mendorong orang lain dengan pelbagai cara. Kuncinya bukanlah cara kita menggalakkan orang lain, melainkan mengambil waktu untuk menyatakan bahawa kita mempedulikan mereka dalam nama Yesus!
Fikirkan galakan yang diterima oleh Gayus ketika dia membaca surat Yohanes. Bolehkah kita juga bertindak sedemikian dalam menyinarkan kasih Tuhan ke atas rakan-rakan kita, dengan cara menulis nota yang menunjukkan keprihatinan ataupun membuat panggilan untuk memberi dorongan kepada mereka?