Seminggu sebelum tarikh perkahwinan, pertunangan Sarah telah berakhir. Walaupun dia berasa sedih dan kecewa, dia membuat keputusan untuk mengubah rancangan agar tidak membazirkan makanan yang telah ditempah untuk jamuan perkahwinannya. Dia memperbaharui senarai tetamu dengan menjemput orang yang tidak memiliki tempat tinggal ke jamuan tersebut.

Yesus menyokong nilai kebaikan sedemikian ketika Dia berbicara kepada orang Farisi, sambil berkata, “Apabila mengadakan suatu jamuan, jemputlah orang miskin, orang kudung, orang tempang dan orang buta. Diberkatilah kamu kelak …” (Lukas 14:13 -14). Dia mengingatkan bahawa berkat itu akan datang daripada Tuhan kerana para tetamu ini tidak dapat membayar balik tuan rumah. Yesus menyokong penghuluran bantuan kepada orang yang tidak dapat membalas dengan sumbangan berbentuk kebajikan, atau tidak pandai berucap, atau tidak mempunyai kedudukan sosial yang tinggi.

Apabila kita merenungkan ungkapan Yesus ketika Dia menghadiri jamuan makan yang diadakan oleh orang Farisi ini, pesanan-Nya itu menjadi provokatif dan radikal. Tetapi kasih yang sejati adalah radikal. Saya pernah mendengar bahawa kasih ialah memberi demi memenuhi keperluan orang lain, tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Demikianlah Yesus mengasihi setiap kita. Dia melihat kemiskinan dalaman kita dan bertindak dengan memberikan nyawa-Nya untuk kita.

Mengenal Kristus secara peribadi merupakan satu perjalanan ke dalam kasih-Nya yang tidak terhingga. Kesemua kita dijemput untuk menerokai “betapa lebarnya, panjangnya, tingginya dan dalamnya kasih Kristus” (Efesus 3:18).