Ia merupakan minggu yang suram. Saya berasa lesu dan tidak berdaya meskipun saya tidak tahu sebabnya.
Apabila minggu itu hampir berakhir, saya mendapati bahawa seorang ibu saudara saya mengalami masalah buah pinggang. Saya tahu bahawa saya perlu melawatnya—tetapi secara jujur, saya ingin menangguhkan lawatan tersebut. Namun, saya telah pergi melawatnya juga. Kami makan malam bersama, berbual-bual, dan berdoa. Selepas sejam, saya meninggalkan rumahnya dengan perasaan sukacita untuk kali pertamanya dalam beberapa hari. Dengan memfokuskan orang lain daripada diri sendiri, keadaan saya bertambah baik.
Ahli psikologi mendapati bahawa tindakan memberi boleh menghasilkan kepuasan hati, iaitu perasaan yang timbul apabila si pemberi melihat perasaan bersyukur daripada si penerima. Beberapa pakar mempercayai bahawa manusia telah dirangka untuk menjadi murah hati!
Mungkin sebab itulah Paulus mendorong gereja di Tesalonika untuk membina iman masyarakat mereka, ini mendesak mereka untuk “[menolong] orang yang lemah” (1 Tesalonika 5:14). Sejak awal lagi, dia juga memetik kata-kata Yesus, “Memberi itu lebih berkatnya daripada menerima” (Kisah Para Rasul 20:35). Hal ini dikatakan bukan sahaja dalam konteks pemberian secara kewangan, tetapi juga pemberian dari segi masa dan usaha.
Apabila kita memberi, kita dapat memahami apa yang dirasakan Tuhan. Kita akan memahami sebab Dia menyatakan kasih kepada kita dengan sukacita. Kita turut berkongsi sukacita dan kepuasan yang dirasai-Nya dalam memberkati orang lain. Saya berfikir, saya akan melawat ibu saudara saya tidak lama lagi.