Salah satu doa pertama yang saya pelajari sewaktu saya masih kecil ialah “Sekarang saya berbaring untuk tidur, saya berdoa kepada Tuhan untuk menjaga jiwa saya … “ Itulah doa yang saya pelajari daripada ibu bapa saya, dan saya mengajarkannya kepada anak-anak lelaki dan perempuan saya semasa mereka kecil. Sebagai seorang kanak-kanak, saya berasa cukup selesa dengan menyerahkan diri saya dalam tangan Tuhan melalui kata-kata itu sebelum saya terlena.

Ada satu doa yang berbunyi sama, yang terselit kemas dalam “buku doa” Alkitab, iaitu Mazmur. Beberapa ahli Alkitab berpendapat bahawa ungkapan “Ke dalam tangan-Mu kuserahkan rohku” (Mazmur 31:5) ialah doa “waktu tidur” yang diajarkan kepada kanak-kanak pada zaman Yesus.

Anda boleh mengenal doa itu sebagai tangisan terakhir Yesus pada kayu salib. Namun Yesus menambahkan dua lagi perkataan: Ya Bapa (Lukas 23:46). Dengan melafazkan doa itu pada saat-saat sebelum kematian-Nya, Yesus menunjukkan hubungan erat-Nya dengan Bapa dan menunjukkan orang percaya ke arah rumah yang mereka akan bersama dengan Dia (Yohanes 14:3).

Yesus mati pada kayu salib supaya kita dapat hidup dalam hubungan ajaib dengan Tuhan sebagai Bapa syurgawi kita. Adalah sesuatu yang sungguh menghiburkan apabila mengetahui bahawa disebabkan oleh kasih pengorbanan Yesus bagi kita, kita boleh berehat dalam pemeliharaan Tuhan sebagai anak-anak-Nya! Kita boleh menutup mata tanpa berasa takut kerana Bapa kita akan menjaga kita, dan telah berjanji untuk menghidupkan kita semula supaya kita hidup bersama-Nya (1 Tesalonika 4:14).