Apabila ahli psikologi pendidikan Benjamin Bloom, membuat penyelidikan tentang cara untuk mengembangkan bakat di kalangan orang muda, memeriksa zaman kanak-kanak 120 orang elit—atlet, ahli seni, cendekiawan—beliau mendapati bahawa terdapat satu persamaan di antara mereka: mereka telah berlatih secara intensif untuk jangka masa yang panjang.
Penyelidikan Bloom menunjukkan bahawa untuk mencapai kemajuan dalam mana-mana bidang kehidupan, ia memerlukan disiplin. Demikian juga dalam halnya perjalanan kita dengan Tuhan. Untuk memastikan iman kita bertumbuh dalam Tuhan, maka kita perlu memupuk disiplin rohani kita dengan sentiasa mengambil masa bersama dengan Dia.
Daniel merupakan contoh yang baik tentang seseorang yang telah mengutamakan disiplin untuk berjalan bersama dengan Tuhan. Sebagai orang muda, Daniel mula membuat keputusan yang teliti dan bijak (1:8). Dia juga memiliki komitmen untuk selalu berdoa, “memberi kesyukuran kepada Tuhan” (6:10). Sikapnya yang selalu mencari Tuhan membuatkan imannya mudah dikenali oleh orang di sekelilingnya. Malahan Raja Darius menggambarkan Daniel sebagai “hamba kepada Allah yang hidup” (ayat 20) dan sebanyak dua kali dia menggambarkan Daniel sebagai seorang yang “selalu” melayani Tuhan (ayat 16,20).
Seperti Daniel, kita sangat memerlukan Tuhan. Betapa baiknya apabila mengetahui bahawa Tuhan bekerja dalam kita supaya kita mempunyai kerinduan untuk mengambil masa bersama dengan Dia! (Filipi 2:13). Oleh itu, marilah kita datang setiap hari di hadapan Tuhan, mempercayai bahawa masa kita untuk bersama dengan Dia akan menghasilkan kasih yang semakin melimpah dan pengetahuan serta pemahaman kita tentang Penyelamat semakin bertambah (Filipi 1:9-11).