Sekembalinya ke balai polis, Pegawai Miglio bersandar pada dinding dalam keadaan letih. Panggilan kecemasan ke sebuah keluarga yang berlakunya keganasan telah menghabiskan separuh masa syifnya. Kejadian itu mengakibatkan seorang teman lelaki dihantar ke pusat tahanan, seorang anak perempuan muda dikejarkan ke bilik kecemasan dan seorang ibu yang terkejut tertanya-tanya bagaimana peristiwa sedemikian berlaku. Kes seperti ini pasti akan melelahkan pegawai muda itu untuk masa yang agak lama.

Tiada apa lagi yang kamu boleh lakukan, Vic,” kata sarjannya dengan simpati. Namun kata-kata itu tidak bermakna apa-apa. Sesetengah pegawai polis kelihatan dapat meninggalkan kerja mereka di tempat kerja. Tetapi Vic Miglio tidak dapat melakukannya, terutamanya kes-kes yang sukar seperti ini.

Hati Pegawai Miglio mencerminkan belas kasihan Yesus. Murid-murid Kristus baru sahaja datang kepada-Nya dengan persoalan: “Siapakah yang dianggap terbesar antara orang dalam kerajaan syurga nanti?” (Matius 18:1). Dia memanggil seorang kanak-kanak lalu memberitahu murid-murid-Nya, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali kamu menjadi seperti kanak-kanak kecil, kamu tidak akan masuk ke dalam kerajaan syurga” (ayat 3). Kemudian Dia memberi amaran keras kepada sesiapa sahaja yang akan membahayakan seorang kanak-kanak (ayat 6). Sesungguhnya, kanak-kanak sangat berharga bagi Yesus sehingga Dia memberitahu kita, “Malaikat-malaikat mereka sentiasa berada di hadirat Bapa-Ku di syurga” (ayat 10).

Justeru itu, penghiburan besar akan kita alami apabila kita mengetahui bahawa kasih Yesus terhadap kanak-kanak adalah sama dengan kasih-Nya terhadap kita! Itulah sebabnya Dia menjemput kita, melalui iman seperti seorang kanak-kanak, untuk menjadi anak lelaki dan anak perempuan-Nya.