Para pembina badan yang bertanding akan melalui pusingan latihan yang ketat. Pada awal beberapa bulan, mereka mengutamakan penambahan saiz tubuh badan dan kekuatan. Apabila pertandingan menjelang, fokus itu beralih pula kepada menghilangkan lemak-lemak yang menyebabkan otot tidak kelihatan. Pada hari-hari akhir sebelum pertandingan, mereka meminum air kurang daripada biasa supaya tisu otot mudah kelihatan. Sebenarnya keadaan mereka adalah sangat lemah pada hari pertandingan walaupun mereka kelihatan kuat, kerana mereka telah mengurangkan pengambilan makanan yang berkhasiat.
Dalam 2 Tawarikh 20, kita membaca kenyataan yang bertentangan: mengakui kelemahan kita untuk mengalami kekuatan Tuhan. “Suatu pasukan besar datang dari Edom di seberang Laut Mati hendak menyerang tuanku,” (ayat 2) beberapa orang memberitahu Raja Yosafat. Jadi “ dimaklumkannya puasa bagi seluruh Yehuda” (ayat 3), dia dan semua rakyatnya berhenti makan dan minum yang biasa dilakukan. Kemudian mereka memohon pertolongan daripada Tuhan. Apabila dia mengumpulkan tenteranya akhirnya, Yosafat meletakkan para penyanyi yang memuji Tuhan di hadapan tenteranya (ayat 21). Ketika mereka mula menaikkan pujian, Tuhan “mengadakan pengadangan terhadap bani Amon, bani Moab, dan orang Pergunungan Seir yang datang menyerang Yehuda, sehingga mereka semua dikalahkan” (ayat 22).
Keputusan Yosafat menunjukkan imannya yang mendalam terhadap Tuhan. Dia sengaja memilih untuk tidak bergantung kepada kehebatan manusia dan tentera, sebaliknya bersandar kepada Tuhan. Daripada mencari jalan keluar dengan kekuatan sendiri untuk mengharungi ujian-ujian yang kita hadapi, marilah kita berpaling kepada Tuhan dan menjadikan Dia kekuatan kita.