Ketika di sekolah menengah, saya merupakan wakil sekolah dalam sukan tenis. Saya menghabiskan banyak waktu remaja untuk cuba memperbaiki kemahiran saya di empat buah gelanggang keras yang terletak hanya dua buah blok dari rumah saya.

Apabila saya pulang untuk mengunjungi bandar tersebut, perkara pertama yang saya lakukan ialah memandu ke gelanggang tenis dengan harapan untuk menonton orang lain bermain di situ, serta mengenang peristiwa pada masa lalu. Namun gelanggang-gelanggang lama tersebut yang masih segar dalam ingatan saya tidak kelihatan lagi. Tempat itu kini menjadi sebuah padang kosong, yang hanya diliputi oleh sedikit rumput yang melambai dengan senyap dalam bayu.

Peristiwa pada petang itu terus melekat dalam fikiran saya dan ini menjadi satu peringatan bahawa betapa singkatnya kehidupan kita. Salah sebuah tempat yang saya sangat suka pada usia muda tidak wujud lagi! Hal ini menyedarkan saya kepada kebenaran yang diungkapkan oleh Raja Daud yang semakin dimamah usia: “Hidup manusia seperti rumput, seperti bunga di padang, begitulah dia berkembang; angin meniupnya, maka tiadalah dia lagi, dan tempatnya dahulu tidak mengingatinya. Tetapi kasih TUHAN dari selama-lamanya sampai selama-lamanya bagi mereka yang takut kepada-Nya” (Mazmur 103:15-17).

Usia kita semakin meningkat dan dunia di sekeliling kita mungkin berubah, tetapi kasih Tuhan tidak pernah berubah. Dia sentiasa boleh dipercayai untuk menjaga mereka yang berpaling kepada-Nya.