Saya menundukkan kepala, memejamkan mata, melipat kedua-dua belah jari tangan dan mula berdoa. “Ya Tuhan, saya datang kepada-Mu pada hari ini sebagai anak-Mu. Aku mahu memuji kuasa dan kebaikan-Mu …” Tiba-tiba, mata saya terbuka. Saya teringat akan anak lelaki saya yang belum menyelesaikan projek sejarahnya yang akan tamat tempoh pada keesokan hari. Saya teringat bahawa dia terlibat dalam permainan bola keranjang selepas sekolah, dan saya terbayangkan dia akan terjaga sehingga tengah malam untuk menyiapkan tugasan sekolahnya. Hal ini merisaukan saya kerana keadaannya yang letih pasti akan mengakibatkan dia menghidapi penyakit selesema!

C. S. Lewis menulis tentang gangguan masa doa dalam bukunya The Screwtape Letters (Surat-surat Screwtape). Dia berkata bahawa apabila fikiran kita melayang-layang, kita cenderung menggunakan azam untuk memaksa kita kembali kepada doa yang asal. Walau bagaimanapun, Lewis menyimpulkan bahawa lebih baik kita menerima “gangguan tersebut sebagai masalah [kita] sekarang dan [menyerahkan] hal itu kepada [Tuhan] serta menjadikannya tema utama doa [kita].”

Kebimbangan yang berterusan atau pemikiran berdosa yang mengganggu masa doa kita mungkin menjadi pusat perbualan kita dengan Tuhan. Tuhan menginginkan kita bercakap dengan Dia secara jujur serta meluahkan kebimbangan, ketakutan, dan pergelutan kita yang paling dalam. Dia tidak akan berasa terkejut terhadap apa yang kita katakan. Perhatian-Nya bagi kita adalah seperti apa yang akan kita terima daripada seorang kawan rapat. Itulah sebabnya kita didorong untuk menyerahkan segala kerunsingan dan kebimbangan kita kepada Tuhan—kerana Dia mengambil berat tentang kita (1 Petrus 5:7).