“Kita akan pergi ke sini,” kata saya sambil menyentuh bahu anak lelaki saya dan mengarahkan dia mengikut isteri dan anak-anak perempuan saya yang berada di hadapan, dengan melewati orang ramai. Saya telah banyak kali memberikan peringatan yang sama semasa keluarga kami berada di taman hiburan untuk sepanjang hari. Anak lelaki menjadi semakin letih dan tidak boleh berfokus. Kenapa dia tidak boleh mengikut mereka sahaja? Saya tertanya-tanya.
Kemudian fikiran ini terlintas dalam minda saya: Berapa kerapnya saya melakukan perkara yang sama? Berapa kerapnya saya melencong daripada berjalan dengan taat bersama Tuhan, tetapi terpesona oleh godaan untuk mengejar apa yang saya inginkan, bukan mencari jalan Tuhan?
Fikirkan kata-kata Tuhan untuk Israel melalui Yesaya: “Dan telingamu akan mendengar perkataan ini dari belakangmu: ‘Inilah jalannya, tempuhilah’ apabila kamu menyimpang ke kanan dan ke kiri” (Yesaya 30:21). Dalam bahagian yang lebih awal, Tuhan telah menegur umat-Nya kerana pemberontakan mereka. Tetapi jika mereka mempercayai kekuatan-Nya dan bukan kekuasaan mereka sendiri (ayat 15), maka Dia berjanji untuk menunjukkan kemurahan hati dan belas kasihan-Nya (ayat 18).
Satu ungkapan tentang kemurahan hati Tuhan ialah janji-Nya untuk membimbing kita dengan Roh-Nya. Itu berlaku ketika kita bercakap dengan Dia tentang keinginan kita, dan bertanya dalam doa tentang kehendak-Nya untuk kita. Saya bersyukur kerana Tuhan mengarahkan kita dengan sabar, hari demi hari, langkah demi langkah, ketika kita mempercayai Dia dan mendengarkan suara-Nya.