“Kamu perlu dengar cakap saya, saya abang kamu!” Kata-kata itu datang daripada seorang abang yang tinggal di kawasan kejiranan saya. Dia risau tentang keputusan adik lelakinya yang akan berpindah ke tempat yang jauh. Jelas bahawa budak yang lebih tua itu lebih mampu membuat pertimbangan yang lebih baik dalam keadaan itu.

Berapa ramai antara kita pernah menentang nasihat bijak daripada abang atau kakak? Jika anda perlu menanggung akibat kerana mengabaikan nasihat baik daripada seseorang yang lebih matang, ketahuilah bahawa anda bukan seorang diri, ramai orang juga mengalaminya.

Salah satu sumber yang paling besar yang boleh kita miliki sebagai orang yang percaya kepada Yesus, ialah keluarga—mereka yang berhubung secara rohani kerana memiliki iman sama dalam Kristus. Keluarga ini terdiri daripada lelaki dan wanita dewasa yang mengasihi Tuhan dan saling mengasihi. Seperti adik lelaki di kejiranan saya itu, kita kadangkala memerlukan peringatan atau teguran yang dapat memperbaiki diri kita agar membawa kita kembali ke jalan yang benar. Ini memang benar khususnya apabila kita menyinggung perasaan seseorang, atau seseorang menyinggung perasaan kita. Ini amat sukar untuk melakukan apa yang betul. Tetapi kata-kata Yesus dalam Matius 18:15-20 menunjukkan apa yang harus kita lakukan apabila berlakunya konflik di kalangan keluarga rohani kita.

Bersyukurlah, kerana Bapa syurgawi dengan penuh kemurahan-Nya telah menempatkan orang yang bersedia membantu kita, agar kita belajar untuk menghormati Dia dan sesama dalam kehidupan kita. Apabila kita memiliki sikap yang rela mendengar nasihat, maka perkara akan menjadi lebih baik dalam keluarga rohani (ayat 15).