Filem The King’s Speech yang diterbitkan pada tahun 2010, menceritakan kisah tentang Raja George VI dari England yang telah menjadi raja tanpa disangka-sangka apabila abangnya meninggalkan takhta. Di ambang tercetusnya Perang Dunia Kedua, para pegawai kerajaan mengharapkan seorang pemimpin yang fasih dalam ucapan kerana peranan radio yang semakin berpengaruh pada masa itu. Namun Raja George VI bergelut dengan masalahnya yang bercakap tergagap-gagap.

Saya amat tertarik oleh watak isteri George, Elizabeth, dalam penggambaran filem itu. Semasa George bergelut untuk mengatasi kesukaran pertuturannya, isterinya telah menjadi sumber pendorongnya. Sokongan yang setia daripada isterinya telah membantu George mengatasi cabarannya dan memerintah dengan baik semasa perang.

Alkitab menekankan kisah para penyokong yang telah memberikan pertolongan yang kuat semasa dalam keadaan yang mencabar. Musa mendapat sokongan Harun dan Hur ketika pertempuran Israel (Keluaran 17:8-16). Elisabet memberi galakan kepada saudaranya Maria, yang sedang mengandung (Lukas 1:42-45).

Selepas mempercayai Kristus, Paulus memerlukan sokongan Barnabas, yang namanya bermaksud “Anak Pendorong.” Ketika murid-murid berasa takut kepada Paulus, Barnabas dengan merisikokan reputasinya, telah menjamin untuknya (Kisah Para Rasul 9:27). Sokongannya adalah penting bagi Paulus untuk dialu-alukan oleh komuniti Kristian. Barnabas kemudian melayani bersama Paulus sebagai teman seperjalanan dan penyampai berita baik (Kisah Para Rasul 14). Walaupun terdapat bahaya, mereka bekerjasama untuk memberitakan Injil.

Para pengikut Yesus masih dipanggil untuk “saling menggalakkan dan saling meneguhkan” (1 Tesalonika 5:11). Semoga kita bersemangat untuk memberi galakan demi menyokong orang lain, terutamanya ketika mereka menghadapi keadaan yang sukar.