Pada tahun 1986, Levan Merritt yang berusia lima tahun telah terjatuh ke kandang gorila yang sedalam 6 meter di Zoo Jersey, England. Apabila ibu bapanya dan para pelawat zoo yang lain berteriak untuk mendapatkan bantuan, Jambo, seekor Silverback gorila jantan datang untuk menyelamatkan budak lelaki yang tidak sedar itu daripada beberapa ekor gorila yang lain. Kemudian Jambo mula meraba-raba bahagian belakang budak itu. Apabila Levan terjaga dan mulai menangis, Jambo memimpin gorila-gorila lain masuk ke dalam kandang kecil masing-masing sementara para penjaga zoo dan pemandu ambulans datang untuk menyelamatkan Levan. Lebih daripada tiga puluh tahun kemudian, Levan masih bercakap mengenai Jambo, gergasi yang lembut itu—binatang ini bagaikan malaikat pelindungnya yang telah bertindak di luar dugaan, serta persepsinya tentang gorila diubah selama-lamanya.

Elia mungkin mengharapkan Tuhan akan bertindak dengan cara tertentu, tetapi Tuhan yang berkuasa atas semua tuhan lain menggunakan angin yang memecahkan batu, gempa bumi yang kuat, dan api yang memarak untuk menunjukkan kepada nabi-Nya bahawa Dia ialah Tuhan yang bertindak di luar dugaan. Kemudian Dia menggunakan suara yang lembut bagaikan bisikan untuk menunjukkan isi hati-Nya dan menyatakan kehadiran-Nya (1 Raja-Raja 19:11-12).

Elia pernah melihat kuasa Tuhan sebelum ini (18:38-39). Tetapi dia tidak memahami Tuhan sepenuhnya, bahawa Tuhan ingin dikenali sebagai Tuhan yang lebih berkuasa dan dahsyat daripada para dewa yang paling hebat (19:10,14).

Akhirnya, bisikan lembut itu menemukan makna yang penuh dalam kelembutan kuasa Yesus, berkata, “Sesiapa yang telah melihat-Ku, telah melihat Bapa” (Yohanes 14:9). Kemudian secara senyap, Dia mengizinkan diri-Nya dipaku pada kayu salib—tindakan yang di luar dugaan, penuh belas kasihan daripada Tuhan yang dahsyat dan mengasihi kita.